Monday, December 3, 2012

Tafsir Surah Al-Talaq (ayat 1-7)



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



[1]Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).


[2]Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

[3]Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.




[4]Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.

[5]Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya.


[6]Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.





[7]Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.


Dari Tafsir Fi-Zilalil Qur’an karangan Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah.


1. Masa yang wajar bagi suami menceraikan isterinya ialah semasa isterinya dalam keadaan suci dari haidh dan tidak berlaku hubungan kelamin di antara keduanya pada masa itu.

2. Isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah bekas suaminya sepanjang masa Iddah.

i. bagi perempuan yang berhaidh Iddahnya ialah:

-3 furu’ iaitu 3 kali haidh atau 3 kali suci dari haidh menurut khilaf Ahli Fiqah dalam masalah ini.

ii. bagi perempuan yang telah putus haidh dan perempuan yang belum pernah di datangi haidh (masih kecil) atau berpenyakit Iddahnya ialah:

-3 bulan.

iii. bagi perempuan hamil Iddahnya ialah:

-sehingga mereka melhirkan anak yang dikandung mereka.

3. Suami hendaklah memberi tempat tinggal dan nafkah kepada isteri yang dicerai sepanjang masa Iddah dan juga upah menyusu bayi.

i. suami di perintah menempatkan isteri yang di ceraikan mereka itu di rumah kediaman mengikut kemampuan mereka.

ii. si Ibu berhak mendapatkan upah penyusuannya untuk membantu kehidupannya dan membantunya bagi membanyakkan air susunya

Insya-Allah dalam tafsir surah Al-Talaq dapatlah kita sama-sama pelajari sedikit sebanyak tentang perintah Allah dalam menghadapi penceraian dalam Islam. Kita sebagai umat Islam hendaklah melaksanakan perintah Allah dalam apa situasi sekalipun. Di dalam surah Al-Talaq ini, Allah menerangkan masa yang sesuai untuk menceraikan isteri. Suami juga hendaklah memberi nafkah dan tempat tinggal kepada bekas isterinya semasa dalam tempoh iddah . Dengan ini, dapat memudahkan suami untuk merujuk semula bagi mengekalkan tali perkahwinan mereka. Begitu juga bagi isteri yang di ceraikan ketika sedang menyusukan anak mereka, si suami hendaklah memberi upah kepada isteri mereka bagi membantu memperbanyakkan air susu isteri mereka. Jelas lah di sini Islam telah memberi keadilan kepada lelaki dan perempuan dalam menghadapi situasi penceraian . Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah melaksanakan perintah Allah ini dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...