Thursday, December 27, 2012

Tafsir surah At-Tahrim

 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani




 [1]Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani



 

[2]Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda – kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.






[3]Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: “Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ” Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) “.






[4]Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.



 [5]Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.



 [6]Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan



 [7]Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): “Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan”.



 [8]Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.


 [9]Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.




[10]Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.



 [11]Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”;




[12]Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.


Surah At-Tahrim

Surah Pengharaman

Surah ke 66-Madaniyah-12 ayat

Diambil dari Tafsir fi zilalil Qur’an karangan Asy-Syahid Sayid Qutb Rahimahullah

1. Seluruh hidup Rasullulah mencerminkan ciri-ciri ‘Aqidah Islamiyah

- Permulaan Surah ini menayangkan satu lembaran dari kehidupan rumah tangga Rasulullah S.A.W.

- Di antara isteri-isteri Rasulullah S.A.W ialah:

1)Khadijah binti Khuwaylid

2)Saudah binti Zam’ah r.a

3)Aisyah r.a

4)Hafsah binti Umar r.a

5)Zainab binti Khuzaymah

6)Ummu Salamah

7)Zainab binti Jahsy

8)Juwayriyah binti al-Harith

9)Ummu Habybah binti Abu Sufyan

10)Safiyah binti Hyyi

11)Maimunah binti al-Harith

- Setelah kematian Khadijah, Rasullulah S.A.W telah mengahwini lebih dari seorang perempuan dan pertelingkahan semestinya akan berlaku di antara perempuan-perempuan yang bermadu.

2. Peristiwa pakatan rahsia Hafsah dan Aisyah dan implikasinya yang serius.

- Arahan yang menyeru dua orang isteri Rasulullah S.A.W yang membuat pakatan rahsia terhadap beliau supaya bertaubat.

- Menurut riwayat Ibn Jarir dan Ibn Ishaq’ Rasulullah S.A.W telah mengadakan hubungan kelamin dengan Mariah ibu anaknya Ibrahim di rumah Hafsah dan ini menyebabkan Hafsah marah dan menganggapkan perbuatan itu sesuatu penghinaan terhadap dirinya, lalu Nabi S.A.W telah berjanji dengan Hafsah bahawa beliau akan mengharamkan Mariah kepada dirinya dan beliau bersumpah untuk berbuat demikian dan beliau menyuruh Hafsah menyembunyikan rahsia ini, tetapi Hafsah telah menceritakan hal ini kepada Aisyah.

- Mariah adalah hamba bagi Rasulullah dan halal untuk disetubuhi oleh beliau.

- Allah menegur Rasulullah S.A.W melalui ayat pertama surah ini:-

1) Maka tidak harus bagi seseorang menahan diri dari menikmatinya iaitu perkara yang halal baginya dan sengaja hendak mengambil hati seseorang yang lain.

2) Janganlah kamu mengaharamkan melainkan sesuatu yang telah diharamkan-Nya, dan juga kamu menghalalkan melainkan sesuatu yang telah di halalkan-Nya.

- Dan dari kisah ini dapatlah kita menyedari betapa mendalamnya kesan peristiwa itu kepada hati Rasullullah S.A.W. hingga Al-Qur’an terpaksa mengumumkan bahawa Allah, Jibril, orang Mu’min yang salih dan para Malaikat sekaliannya akan turut membantu beliau membaiki hati beliau yang telah tersinggung itu dan supaya beliau kembali tenang dan tenteram dari peristiwa yang amat menyentuh hatinya itu.

3- Umat Muslimin diseru menjunjung iltizam-iltizam untuk menjauhkan keluarga dari api neraka.

Dari impilikasi peristiwa ini:

- Al-Qur’an menyeru para Mu’minin supaya menunaikan kewajipan mereka terhadap rumah tangga mereka, iaitu kewajipan mendidik,memimpin dan mengingat untuk memelihara diri mereka dan keluarga mereka dari seksa Neraka, di samping melukiskan kepada mereka satu pemandangan dari pemandangan-pemandangan neraka dan keadaan orang kafir di sana.

- Juga menayangkan pemandangan orang-orang kafir yang masuk ke dalam neraka.

- Ini dapat mengingatkan supaya kepala-kepala keluarga yang menjadi penguasa-penguasa rumah tangga itu berusaha mendidik keluarga mereka dan memelihara diri mereka serta keluarga mereka dari api neraka.

- Juga menyeru mereka supaya bertaubat dan mengambarkan kepada mereka pemandangan syurga yang menunggu orang-orang yang bertaubat.

- Kemudian Al-Qur’an menyeru nabi S.A.W. supaya memerangi orang-orang kafir dan orang-orang Munafiq.

- Tanggungjawab seorang Mu’min terhadap diri dan keluarganya adalah tanggungjawab yang berat dan menakutkan.

- Di Akhirat sana dia dan keluarganya terdedah kepada api Neraka. Oleh itu, dia berkewajipan melindungkan dirinya dan keluarganya dari Neraka.

- Orang-orang kafir yang sedang berdiri di tepi neraka itu memohan kema’afan, tetapi mereka tidak dipedulikan, malah diberi jawapan yang memutuskan harapan mereka.

- Jalan untuk menjahui Neraka ialah Taubat Nasuha iaitu:-

1)Taubat yang membersihkan hati seseorang dan kemudian ia tidak menipu hatinya.

2)Taubat yang sentiasa menyedarkan dan mengingatkan hati seseorang supaya tidak mengulangi maksiat itu.

3)Taubat yang dapat diharapkan dari Allah agar menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memasukkan mereka ke dalam Syurga.

4- Contoh yang memperkatakan tentang perempuan yang kafir yang hidup dirumahtangga

nabi-nabi dan perempuan –perempuan yang beriman yang hidup di tengah-tengah orang yang

Kafir.

- Al-Qur’an telah menyebut perempuan Fir’aun di samping Maryam puteri Imran.

- Ini menunjukkan dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana itu dia disebut bergandingan dengan Maryam.

- Kedua-duanya merupakan dua contoh wanita yang suci,beriman,percaya dan ta’at yang disebut oleh Allah untuk menjadi teladan kepada isteri-isteri Nabi S.A.W, sesuai dengan peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan turunya ayat-ayat permulaan dari surah ini juga untuk menjadikan contoh teladan kepada wanita-wanita Mu’minat diseluruh generasi.

Oleh itu, sidang pembaca sekalian sama-sama kita menjadi orang yang beriman kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan larangannya. Apabila kita telah jauh dari Allah maka bertaubatlah dari dosa-dosa yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambanya yang sentiasa memohon keampunan dari-Nya. Sama-samalah kita memperbanyakkan amal ibadah kita selama kita hidup didunia ini, semoga Allah akan memasukkan kita di dalam syurga-Nya yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Di harap ,sedikit sebanyak dari Tafsir Surah Al-Tahrim ini dapat memberi manfaat kepada sidang pembaca untuk mengubah diri menjadi lebih baik.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...